CiK

CiK

Sunday 26 October 2014

Hak Kemaafan



Kita memang berhak dan mempunyai hak sama ada untuk memaafkan orang yang menyakiti kita. Kita boleh untuk bersorak dengan riang kerana mendapat pahala atas kejahatan yang telah dia lakukan kepada kita sementara dia terus dengan dosa-dosa yang telah dia lakukan.

Ada orang yang mempunyai ketegasan dalam hal ini dengan tujuan untuk memberi pengajaran agar dia tak terus berbuat kesalahan yang sama. Tapi tersudut dihati kita tenangkah perasaan kita? Legakah? Sesetengah orang memang begitu. Maaf adalah sesuatu yang amat berharga dan tidak mudah memberinya walaupun diminta. Apalagi jika kesalahan itu berpunca dari satu kesalahan yang disengajakan dan amat menyakitkan hati.

Dalam hati terdetik, ‘Padan muka engkau, umpat aku lagi, tipu aku lagi, sakitkan hati aku lagi, sekarang tanggunglah dosa-dosa engkau sampai kiamat.’

Tapi tahukah anda kesalahan yang tidak diselesaikan dengan maaf di dunia ini akan berlanjutan hingga ke Akhirat?
Di sana orang yang bersalah terpaksa membayar dengan memberikan pahala kebaikannya untuk menebus maaf daripada orang yang dizaliminya.
Hingga akhirnya dia muflis dan kerana itu dia dilemparkan ke Neraka.
Begitulah besarnya implikasi “maaf”.

Tapi, andai andalah orang yang bersalah itu, dan anda telah meminta maaf dengan mengakui semua kesalahan anda, dia masih bertegas untuk tidak memaafkan anda, bagaimana rasanya? Sanggupkah kita untuk berjumpa dengannya diakhirat kelak dan membayar kesalahan kita dengan memberikan pahala kebaikkan yang kita sendiri pun tak pasti berapa banyak kebaikkan yang kita buat diterima oleh Allah?
Sebab itulah kita kena berhati-hati dalam menjalani hidup. Seboleh mungkin jangan lakukan sebarang kesalahan terhadap manusia kerana kesalahan sesama manusia tak akan selesai selagi kita tidak menyelesaikan dengan orang kita berbuat salah. Lain pula dosa dengan Allah. Kita boleh meminta ampun dan maaf kepada Allah secara terus. Tapi dengan manusia?

Ada satu kisah menarik pada zaman Rasulullah dahulu yang mungkin boleh kita jadikan tauladan dan pengajaran. Mungkin juga sebagai pelembut hati dalam memberi maaf.

Kisahnya begini, suatu hari, tatkala melihat Rasulullah SAW tertawa sendirian Saidina Umar pun bertanya apa sebabnya.
Jawab Rasulullah SAW, “Ada dua orang umatku yang memperhitungkan hak-haknya. Yang seorang berkata, “Ya Allah, berikanlah hak-hakku yang dizalimi oleh orang itu”
Berfirman Allah SWT, “Berikanlah haknya yang telah engkau zalimi itu!”
Menjawab orang yang dituntut itu dengan sedih, “Ya Allah, wahai Tuhan ku. Sesungguhnya kebaikanku telah pun habis semuanya, maka tiadalah lagi yang dapat aku berikan kepada orang ini.”
Dijawab oleh orang yang menuntut itu, “Oleh itu engkau mesti menanggung segala dosaku sebagai gantinya.”
Tatkala ini, kelihatan Rasulullah SAW mengalirkan air matanya menahan kesedihan lalu meneruskan sabdanya, “Kemudian Allah SWT berfirman kepada orang yang menuntut itu, “Angkatlah kepalamu dan lihatlah Syurga.”
Apabila dilihat oleh si penuntut itu Syurga yang penuh di dalamnya kota-kota yang berlantaikan perak dan gedung-gedung indah daripada emas bertahtakan intan permata, yang elok-elok, dia bertanya, “Apakah semua itu untuk Nabi-nabi atau apakah untuk orang syahid?’
Maka dijawab oleh Allah SWT, “Itu untuk sesiapa sahaja yang sanggup membayarnya!”
Maka kata si penuntut itu, “Ya Allah, siapakah yang memiliki harta yang banyak untuk membeli Syurga yang amat hebat itu.”
Dijawab oleh Allah SWT, “Engkau pun dapat membayarnya, iaitu dengan mengampuni orang yang telah menzalimimu itu.”
Maka kata si penuntut itu, “Kalau begitu aku sanggup mengampuni dosanya terhadapku..”
Firman Allah SWT, “Pimpinlah tangan orang itu bersama-sama ke dalam Syurga itu.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Maka berbuat baiklah kepada saudaramu sesama Muslim.”

Pada pandangan saya, memaafkan seseorang adalah suatu perkara yang sangat sukar dan bukan semua orang mampu melakukannya, dengan ikhlas.
Hanya mereka yang berjiwa besar sahaja mampu memberi maaf seikhlas hati.
Bagaimanakah anda? Apakah senang untuk anda melupakan kesalahan seseorang terhadap anda? Mampukah anda memberi kemaafan seikhlas hati?


P/s : kita manusia biasa yang tak pernah lari dari berbuat silap. Terkadang tanpa sedar mungkin ada hati yang telah kita guris tanpa kita sedari. Jadikan amalan meminta maaf dan memberi maaf sebagai kebiasaan. Tak akan rugi orang yang memberi maaf. Takkan menjadikan kita hina sekiranya kita meminta maaf dan memberi maaf. Hakikatnya kita ni cumalah seorang hamba yang akan sentiasa berbuat silap.

No comments:

Post a Comment