CiK

CiK

Friday 1 August 2014

Pahit Akan Manis

"Kepahitan bukannya untuk dikemam di dalam mulut, apatah lagi dimuntahkan. Kepahitan perlu ditelan sebagai ubat yang menyihatkan"


'Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung seksaan daripada kejahatan yang diusahakannya.” – Surah Al Baqarah, ayat 286


         Saat aku tak senang duduk, giat mencari sumber ‘pengaduan’. Mengadu sana sini perihal ujian dan dugaan yang melanda diri pada orang lain. Mungkin mengharap sedikit pemahaman, sedikit simpati dan empati, serta sedikit nasihat. Bahkan aku tidak berhenti disitu, terus berusaha mencari pelbagai alternatif untuk menenangkan hati, fikiran dan mungkin sebagai wasilah untuk melupakan apa yang aku hadapi. Itu normal. Malah saat aku membicarakan soal redha. Hati kecil ini bertanya apakah aku sendiri redha dengan ketentuan yang telah Allah tetapkan?

          Terkadang aku lupa yang beban bagi manusia ada ukuran masing-masing. Semua masalah dan liku-liku kehidupan ini sesuai dengan kadarnya. Allah tidak pernah lalai kepada hamba-Nya sedangkan aku sendiri yang sering lalai dalam menjaga hubunganku dengan Allah. Persoalan yang Allah soalkan :


“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat“- Surah Al-Baqarah, ayat 214

           Doa yang kita panjatkan, semua pasti didengari Allah. Jangankan suara kita, suara semut hitam pada tengah malam dan di atas batu hitam pun didengar oleh Allah. Dia Maha Adil. Ada doa yang dimakbulkan pada waktu yang diminta, ada yang ditunda demi kebaikan. Ada juga doa yang tidak diterima disebabkan kekurangan syarat.

      Mungkin ada suatu ketika ujian itu hadir dalam bentuk yang unik dan yang kita tidak sangka iaitu dilabel, terlabel dan kadang-kala kita pandai juga melabel. Orang ni menilai, orang tu menilai, orang mengenali menilai, orang tidak mengenali menilai, banyak penilai-penilai. Beringatlah, semua yang kita nilai itu akan diminta pertanggungjawabkan.

       When someone judge you, ambil yang boleh membina diri dan pandang nilaian seseorang tu dengan matang, skop yang luas, positif dan muhasabah balik diri, jangan ambil dari sisi yang boleh menjatuhkan diri (fikiran negatif), jalan untuk berubah ke arah kebaikan tidak hari-hari ditaburi bunga dan dibentangkan karpet merah.

      Untuk kita yang diuji, semua orang ada bahagian ujian-Nya yang memang khas untuk dia. Sabar. Yakinlah, Allah Maha Adil. Allah uji, Allah sayang. Andai kau rasa dunia dan seisinya seakan-akan tidak memahamimu, ketahuilah ada Allah yang sentiasa sudi, sentiasa memahami, sentiasa menguatkan, sentiasa menolong, sentiasa menenangkan, dan sentiasa mendengarmu. Yakinlah, janji Allah pasti benar. Kita perlu lebih sabar dan lebih syukur.

“Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat…” -
(Al-Baqarah 2: ayat 45)